Tempat2 Menarik Di Melaka (Nilai Sejarah)


Melaka memiliki pelbagai tempat yang menarik untuk dilawati. Senarai tempat-tempat tersebut seperti di bawah:-

Perkampungan Portugis juga dikenali sebagai Mini Lisbon. Ia terletak 5km dari Bandar Melaka iaitu di Ujong Pasir, Melaka. Perkampungan ini mempunyai kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada 116 buah keluarga yang berbangsa Portugis dan mula bertapak di Melaka pada tahun 1930. 


Perkampungan ini meliputi keluasan 13 ekar dengan 8 ekar daripadanya terdiri daripada penempatan penduduk dan selebihnya telah didirikan sekolah, padang dan taman permainan kanak-kanak.  Ia merupakan sebuah perkampungan yang unik mengenai kehidupan masyarakat Portugis pada abad ke-16 dan mereka masih mengamalkan bahasa, budaya, lagu dan tarian Portugis sehingga hari ini.



Kota A'Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Pintu gerbang ini merupakan peninggalan portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu.
Kubu ini dahulu mempunyai tembok yang panjang dan empat menara utama. Salah satu daripadanya ialah menara utama empat tingkat, manakala yang lain merupakan bilik simpanan senjata, kediaman kapten dan juga kuarters pegawai.

Kubu ini bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubah suai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670 yang mana “ANNO 1670” boleh dilihat pada pintu gerbang itu.

Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.

Bayaran Masuk:

Masuk adalah percuma.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:
Tel:
 +606-288 3599


Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar dan merupakan pulau yang terbesar sekali di Melaka.  Ia merupakan sebuah pulau di luar pantai Melaka. Terletak 15km daripada Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air. Terdapat kemudahan feri  disediakan di antara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka. Banyak lagenda dikaitkan dengan pulau ini. Pulau Besar dari jauh kelihatan seperti seorang wanita hamil yang sedang berbaring.

Pulau Besar dikatakan penuh dengan sejarahnya yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya bagi mereka daripada keturunan India Muslim Malaysia dan Singapura. Di antara tempat pelancongan yang menjadi tumpuan adalah seperti Makam Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail, Makam Syarifah Rodziah, Makam Saiyid Ibrahim (R.A), Batu Tengkorak, Pokok Disula, Tasik Biawak, Batu Belah, Keramat Masin Tawar, Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makan Seribu, Makam Tujuh Beradik, Makam Nisan Satu, Tapak Kaki Sultan Arifeen dan sebagainya. Pulau ini dianggap suci oleh orang-orang tempatan dan pelancong dinasihatkan untuk berkelakuan baik apabila berada di pulau ini.

Terdapat chalet dan gerai-gerai yang disediakan bagi pelancong agar mereka dapat menikmati pantai yang cantik dan pemandangan yang indah. Chalet yang terdapat di sana adalah Hotel D'Puteri Kurnia di No. Tel: +606 - 295 5899 / +606 - 293 8753.


Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong dikatakan digali oleh Hang Tuah untuk kegunaannya sendiri semasa beliau membesar di kampung tersebut.

Pada asalnya perigi ini adalah kecil, tetapi lama-kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak kering, walaupun di musim kemarau dan airnya dikatakan sentiasa jernih dan dapat menyembuhkan penyakit.

Ada juga cerita bahawa perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih. Ia dikatakan bahawa orang biasa tidak dapat melihat buaya ini dan hanya orang-orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel:
 +606-282 6526


Perigi Raja (Perigi Hang Li Po) ini dibina pada tahun 1459 dibawah arahan Sultan Mansor Shah kepada isteri beliau, Puteri Hang Li Po, seorang puteri dari negara Cina. Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok disekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan (wishing well).

Ada yang berkata bahawa mereka yang melontar duit syiling ke dalamnya akan kembali ke Melaka pada masa depan. Perigi ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Po.

Waktu operasi:

Setiap Hari: 7.00 pagi – 7.00 petang

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:
Tokong Poh San Peng
Bukit China
Tel:
 +606-282 9343


Hang Tuah merupakan seorang pahlawan Melaka di mana kisah keberaniannya terbukti apabila semasa remaja lagi dengan tanpa bantuan sesiapa, beliau telah dapat menangkap seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong. Kehebatan ini sampai ke telinga Sultan dan Hang Tuah dipanggil ke istana untuk dijadikan pahlawan termuda berkhidmat dengan Melaka. Kebolehannya yang cemerlang membuatkan beliau bersama empat sahabatnya legenda dalam sejarah Melaka. 

Walaupun terdapat beberapa hikayat bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja dan terdapat yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Sejarah Melayu daripada tulisan Tun Seri Lanang, yang dianggap sahih dalam pengisahan Sejarah Melayu, mengatakan Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel:
 +606-282 6526


Makam Hang Jebat bertempat di Kampung Pali, berdekatan Jalan Gelanggang di Bandar Melaka. Hang Jebat merupakan seorang wira terkenal semasa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau merupakan salah seorang daripada empat sahabat rapat Hang Tuah.

Namun begitu, Hang Jebat akhirnya dibunuh oleh Hang Tuah dalam pergaduhan yang memakan masa 3 hari dan 3 malam. Demi keadilan terhadap hukuman Sultan yang berat sebelah ke atas Hang Tuah, Hang Jebat dituduh sebagai seorang penderhaka kepada Sultan. Perbalahan ini menimbulkan tanda tanya tentang moral Hang Jebat terhadap pihak berkuasa dan mengenai Hang Tuah yang menurut perintah Sultan walaupun kesalahan Hang Jebat ialah untuk membela nasib Hang Tuah.


Hang Kasturi merupakan salah seorang pahlawan lima bersaudara yang terdiri daripada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. 


Reka bentuk Makam Hang Kasturi banyak dipengaruhi seni bina India, yang mana terdapat ruang-ruang untuk menempatkan pelita untuk menerangi makam tersebut. Makamnya juga dalam bentuk bertingkat sederhana besar, tidak seperti makam-makan berukuran panjang yang dianggap keramat.




Tun Teja atau Tun Teja Retna Benggala adalah anak kepada Seri Amar Diraja, Bendahara Negeri Pahang. Beliau sebenarnya tunangan Yang Dipertua Pahang, Sultan Abdul Jalil. Mengikut Sejarah Melayu, Tun Teja telah dilarikan dari Negeri Pahang dan diyakinkan oleh Hang Tuah untuk mengahwini Sultan Mahmud Shah.

Hasil perkahwinan ini, baginda telah dikurniakan Putera Amar Dewi. Semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka ke Bentayan (Muar) akibat serangan Portugis, Tun Teja mangkat dan dimakamkan di sini dengan penuh kehormatan.


Kubur Belanda yang terkenal ini terletak di Bandar Hilir bersebelahan dengan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka. Kubur ini digunakan pada akhir suku kurun ke-17 dan mempunyai 5 kubur Belanda dan 33 kubur British di dalam kawasan ini. 


Tanah perkuburan ini digunakan pada dua peringkat iaitu di antara 1670-1682 dan 1818-1838. Di antara kubur yang menjadi tarikan ialah kubur yang mempunyai menara yang tinggi yang mana merupakan kubur dua orang pegawai yang mati semasa Perang Naning.





Pancuran air ini dibina pada tahun 1904 sempena memperingati pemerintahan jubli Ratu Victoria. Terletak di tengah-tengah Dataran Belanda, Pancutan Air Ratu Victoria ini masih lagi berfungsi dan telah menjadi tumpuan utama para pengunjung yang datang melawat bandaraya bersejarah ini.






Kubu St. John telah dibina oleh orang Belanda pada 1760 untuk melindungi daripada serangan daripada arah darat. Pada masa itu, orang Melayu yang gelisah sudah mengatur langkah untuk cuba menyerang Melaka. Inilah sebabnya Kubu St. John mempunyai satu ciri yang tersendiri iaitu meriam yang menghadap ke pedalaman. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa meriam yang menghadap ke laut. 


Kubu ini yang terletak di atas Bukit Senjuang merupakan tapak gereja kecil yang ditujukan kepada John the Baptist. Pada masa ini, perayaan St. John the Baptist masih diraikan oleh orang Katolik pada 23 Jun dengan penyalaan ribuan lilin di rumah-rumah di bandar ini



Gereja Christ yang berwarna merah ini telah dibina pada tahun 1753. Ia dibina berdasarkan kehebatan reka bentuk seni bina Belanda. Setiap satu kasau di ruang ibu diukir daripada sebatang pokok manakala kerusi gereja itu yang dibuat dengan tangan itu masih kekal dan sudah berumur lebih kurang 200 tahun.

Terdapat juga batu nisan pada lantai gereja dengan tulis Armenia. Tarikan-tarikan lain yang terdapat di sini adalah termasuk alang yang dibina tanpa penyambung, kitab Bible Bras dan gambar 'Last Supper' pada jubin glis.

Bayaran Masuk:

Masuk adalah percuma tetapi anda digalakkan menderma untuk penjagaan gereja ini.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:
Tel & Faks : +606 - 284 8804


Gereja St. Francis Xavier ini telah dibina oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis pada tahun 1849. Gereja ini terletak di Jalan Laksamana. Menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier yang dikenali sebagai Mubaligh Sulung di Timur. Beliau dikenang kerana kerja-kerja dakwahnya yang menyebarkan agama Katholik di Asia Tenggara pada kurun ke-16. 

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel: +606-282 4770







Gereja ini dibina oleh seorang kapten Portugis iaitu Duate Coelho. Orang Portugis menamakannya “Our Lady of the Hill” tetapi pihak Belanda kemudian menamakannya semula sebagai “Gereja St. Paul’s”. Ia juga digunakan sebagai tempat persemadian bangsawan Belanda.

St. Francis Xavier yang meninggal dunia di pantai Negara China pada tahun 1552 telah disemadikan di sini buat seketika di dalam kubur yang terbuka sebelum dipindahkan ke Goa, India. Patungnya yang dibina di Melaka tidak mempunyai tangan kanannya yang menunjukkan bahawa mayat beliau di Goa tidak mempunyai tangan kanan.

Pada 1952, Biskop Macau membuat keputusan untuk meletakkan patung St. Xavier di depan Gereja St. Paul. Sebuah patung marmar ditempah di Itali dan diukir oleh pengukir Itali terkenal, G Toni, dan ia telah siap untuk perayaan seratus tahun keempat pada Mac 22, 1953.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel: +606-288 3599


Gereja St. Peter’s dibuka pada tahun 1710 selepas pemerintah Belanda mengembalikan kebebasan beribadat kepada orang Katholik Roman Melaka. Gereja ini merupakan gereja Roman Katholik yang tertua di Malaysia dan dibina di atas tanah yang disumbangkan oleh seorang rakyat Belanda, Maryber Granz Amboer.
Bangunan ini mempunyai seni reka bentuk timur dan barat dan patung Alabaster Nabi Isa bersaiz sebenar sebelum kebangkitannya boleh dilihat di sini. Ia juga mempunyai loceng yang bawa khas dari Goa India yang diperoleh daripada gereja yang dibakar oleh orang Belanda.

Bayaran Masuk:

Masuk adalah percuma.
Pelawat dinasihatkan agar berpakaian sopan dan memperolehi kebenaran daripada pihak Gereja sebelum lawatan dibuat.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel:
 +606-282 2950


Kubur British ini terletak di Alor Gajah, Melaka. Pada bulan Mei 1829, orang Inggeris telah menyerang Naning buat kali kedua. Walaupun Naning tewas dalam peperangan tersebut, Datuk Dol Said hanya menyerah diri pada tahun 1834. Beliau diberi pencen sebanyak 100 ringgit setiap bulan sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1849. Walaupun orang Inggeris memenangi peperangan itu, ramai daripada tenteranya terkorban termasuklah George Holford Walker yang terbunuh bersama kuda dan anjingnya yang telah disemadikan di sini. Datanglah melawat kubur tersebut kerana terdapat kesan sejarah. 






Dol Said atau nama penuhnya Dato’ Abdul Said merupakan seorang pemerintah kesembilan Naning di Melaka. Beliau membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh British dan ini menyebabkan konflik yang dikenali sebagai Perang Naning, yang berlaku pada 1831.

Beliau menggunakan kebijaksanaannya dan dengan bantuan daripada perikatan Melayu yang lain, termasuk Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar, beliau telah dapat mengalahkan pihak British dalam serangan pertamanya.

 Dalam serangan kedua, Naning tidak berjaya mendapat bantuan daripada jiran-jirannya malah Yam Tuan Muda Raja Ali di Rembau membantu pihak British dengan menghantar 600 orang bagi mengukuhkan tentera mereka. Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti dan seterusnya menyerah kalah, sekali gus mengakhiri perang tersebut. British menggabungkan Melaka dan Naning dan Dol Said diberikan tempat tinggal di Melaka. Dol Said dan orang Naning telah dikhianati oleh orang Melayu Rembau. Cerita Perang Naning ini tidak dibesar-besarkan walaupun orang Melayu yang memenangi Perang Naning Pertama dan British pada masa itu merupakan kuasa dunia yang sebenarnya. Perang ini menjadikan Dol Said seorang wira dalam sejarah Melayu.

Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:

Tel:
 +606-556 3875

No comments:

Post a Comment